SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Pages

Subscribe
Showing posts with label Nota PMR PI 45/1. Show all posts
Showing posts with label Nota PMR PI 45/1. Show all posts

Monday, May 12

Kem Pendidikan Islam 45/1 (Kem Imarah Masjid)




Pada 10 Mei 2008 (Sabtu) bermula dari jam 7.00 am - 2.00 pm telah diadakan Kem Pendidikan Islam PMR 2008 di Masjid Sultan Ismail Tg Agas Muar.Objektif utama kem ini diadakan adalah untuk melaksanakan Penilaian Ujian Tilawah dan Hafazan PMR 45/2 disamping Ujian Lisan B Arab PMR.Kem ini membabitkan semua kelas peperiksaan Tingkatan 3 . Di samping itu , kem ini juga mampu mendidik para pelajar supaya rajin mengimarahkan Masjid dengan melakukan niat iktikaf di masjid, solat sunat Hajat dan membaca al-Quran .

Tuesday, May 6

Teknik Menjawab Pendidikan Islam PMR 2008 Tingkatan 3

Teknik Menjawab Soalan Pendidikan Islam Ting3 PMR akan berlangsung pada hari khamis 8Mei 2008 di Dewan Seminar Oleh saya sendiri .Syukran.

Friday, March 7

Kata2 hikmah Khulafa` Rasyidin (nota tambahan pmr )

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:

Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.
Read more… or Read more right here… »


SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:

Hatinya selalu berniat suci.
Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).
Segala perkara dihadapinya dengan sabar dan tabah.
Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu’.
Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia.
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur’an tanpa mengambil pangajaran daripadanya.
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara’.
Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.
Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara’, sedang orang yang tidak wara’ itu bererti hatinya mati.

Keistimewaan Khadijah (nota tambahan pi PMR)

Hadith :

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”

(Riwayat Bukhari)

Huraian :

Rasulullah s.a.w memperisterikan Saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat Saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.
Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya. Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah , Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi.
Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain.
Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah.
Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy.
Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh Khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.

Huru Hara Tanda Hampir Qiamat (Nota tg3 Pi)

Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?

Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat semakin menjadi-jadi.

Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangnya.

Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan. Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.

Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang berlaku hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)

Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.

Read more… or Read more right here… »


Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).

Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran, gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.

Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.

Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.

Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup.

Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah . Apakah selamat atau sebaliknya?

Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap situasi dahsyat yang akan berlaku.

Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak menggerunkan kita?

Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).

Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup di dunia.

Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah , Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).

Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu. Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.

Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah.

Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
.