SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Pages

Subscribe

Saturday, September 13

Waktu Paling Afdhal Untuk Bersahur

Melewatkan Sahur Adalah Sunnah

Selagi belum masuknya Subuh, maka kita dibolehkan makan, minum, dan menjima’i isteri. Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Dan Makan dan minumlah kamu sehingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu fajar (masuk waktu subuh)”. (al-Baqarah 2: 187)

Dari Amr bin Maimun al-Audi, dia menyatakan, “Para sahabat Muhammad Shallallahu’alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling akhir (lewat) di dalam bersahur.” (Diriwayatkan daripada ‘Abdur-Razzaq di dalam kitab al-Mushannaf- nya (7591) dengan sanad yang disahihkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari (4/199) dan oleh al-Haitsami di dalam Majma’ az-Zawaid (3/154))

Dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, “Tiga perkara yang merupakan akhlaq kenabian adalah: 1 - Menyegerakan berbuka, 2 – Mengakhirkan (melewatkan) sahur dan 3 - Meletakkan tangan di atas tangan kiri ketika dalam solat (ketika qiyam).” (Hadis Riwayat ath-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir sebagaimana dalam al-Majma’ (2/105). Dia berkata... marfu’ dan mauquf)

Waktu Disunnahkan Untuk Mula Bersahur

Iaitu dimulakan sekitar 50 bacaan ayat al-Qur’an sebelum masuknya waktu subuh. Ini menunjukkan sekitar 15 atau 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.

Ini adalah berdasarkan suatu hadis yang diriwayatkan dari Anas radhiyallahu ‘anhu, dari Zaid bin Tsabit radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya dia pernah berkata: “Kami pernah makan sahur bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau segera menunaikan solat .” Aku tanyakan, “Berapa lama jarak antara azan dan sahur?” Dia menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan 50 ayat al-Qur’an”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari al-Qasim, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Janganlah azan bilal menjadikankamu berhenti dari makan sahur, kerana ia mengumandangkan azan pada malam hari (sebelum masuknya subuh). Maka, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang dikumandangkan oleh Ibnu Ummi maktum, kerana ia tidak mengumandangkannya sehingga waktu fajar telah tiba (waktu subuh telah masuk). (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa masih dibolehkan makan dan minum (bersahur) walaupun telah masuknya waktu subuh selagi mana azan belum dikumandangkan (belum jelas masuknya subuh). Ini adalah berkira dari maksud yang diambil dari hadis tersebut di mana para sahabat dibolehkan untuk makan dan minum sehingga mendengar azannya Ibnu Ummi maktum. Manakala Ibnu Ummi maktum pula hanya akan ber-azan setelah masuknya waktu Subuh dan apabila diperintahkan (diberitahukan) untuk mengumandangkan azan, barulah dia akan ber’azan kerana dia seorang yang buta.

Batilnya Penetapan “Waktu Imsak” 10 Minit Sebelum Subuh Atau Yang Seumpamanya

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Dan Makan dan minumlah kamu sehingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu fajar (masuk waktu subuh)”. (al-Baqarah 2: 187)

Menetapkan berhenti makan sahur sebelum terbitnya fajar shadiq, maka itu bukanlah suatu yang sunnah. Apa yang jelas dari sunnah adalah melewatkan sahur dan dibolehkan berhenti makan/minum sehingga benar-benar telah masuknya waktu subuh dengan yakin. Ianya selain dijelaskan oleh ayat al-Qur’an di atas, ia juga memiliki hujjah yang jelas dari banyak hadis-hadis Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari al-Qasim, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Janganlah azan bilal menjadikankamu berhenti dari makan sahur, kerana ia mengumandangkan azan pada malam hari (sebelum masuknya subuh). Maka, makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan yang dikumandangkan oleh Ibnu Ummi maktum, kerana ia tidak mengumandangkannya sehingga waktu fajar telah tiba (waktu subuh telah masuk). (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dibolehkan menghabiskan makanan dan minuman yang berada di tangan kita (semasa bersahur) walaupun setelah berkumandangnya azan. Ini adalah sebagaimana hadis berikut,

“Ketika salah seorang di antara kamu mendengar azan sedangkan tempat makanan masih berada di tangannya, janganlah dia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajatnya (memakannya) . (Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dengan disepakati oleh az-Dzhabi)

Penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata di dalam kitabnya, Fathul Bari (4/199): “Termasuk perbuatan bid'ah yang mungkar adalah yang diada-adakan pada zaman ini (pada zamannya), iaitu mengumandangkan azan kedua (azan Subuh) sepertiga jam (sekitar 20 minit) sebelum waktunya di bulan Ramadhan, serta memadamkan lampu-lampu yang dijadikan sebagai tanda telah haramnya makan dan minum bagi orang yang mahu berpuasa, mereka menganggap perbuatan ini sebagai rangka ihtiyath (langkah berhati-hati) dalam ibadah, tidak ada yang mengetahuinya kecuali beberapa bilangan manusia saja, hal ini telah menyeret mereka sehingga melakukan azan ketika telah terbenam matahari beberapa peringkat, untuk meyakinkan telah masuknya waktu (menurut sangkaan mereka) mereka mengakhirkan (melambatkan) berbuka dan menyegerakan sahur, sehingga menyelisihi sunnah, oleh kerana itu sedikit pada mereka kebaikan dan keburukan pun banyak tersebar pada mereka, Allahul Musta'an.

Penjelasan Syaikh al-Albani

Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah mengulas persoalan ini di dalam salah satu kitabnya, “Tamamul Minnah” ketika membantah kenyataan Sayyid Sabiq sebagaimana berikut,

“Ketika salah seorang di antara kamu mendengar azan sedangkan tempat makanan masih berada di tangannya, janganlah dia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajatnya (memakannya) . (Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Hakim dengan disepakati oleh az-Dzhabi)

Ibnu Hazm juga meriwayatkannya dan menambah: “Ammar (yakni Ibnu Abi Ammar, perawi Abu Hurairah) mengatakan:

“Mereka dahulu mengumandangkan azan ketika telah terbit fajar (setelah masuknya waktu Subuh)”.

Hammad (yakni: Ibnu Salamah) mengatakan dari Hisyam bin Urwah:

“Ayahku memberi fatwa demikian”

Dan sanadnya sahih menurut Muslim dan mempunyai hadis-hadis saksi yang telah saya (Syaikh al-Albani) sebutkan dalam “at-Ta’liqat al-Jiyad dan juga ash-Shahihah (1354)”.

Ini adalah sebagai dalil bahawa seseorang yang mendapati fajar mulai terbit, makanan dan minuman masih di tangannya, masih boleh baginya makan. Allah berfirman:

“Dan Makan dan minumlah kamu sehingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu fajar”. (al-Baqarah 2: 187)

Tiada pertentangan di antara ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya, serta tidak ada ijmak yang membantahnya. Bahkan sejumlah besar sahabat dan selain mereka mengguna-pakai hadis ini dan berpendapat lebih dari itu, iaitu dibolehkannya makan sahur sehingga fajar tampak (kelihatan) jelas dan warna putih (terang) telah menyebar ke segala penjuru. (Lihat: Fathul Bari, 4/109-110)

Dari pengertian hadis ini, dapatlah diambil pelajaran bahawa menetapkan adanya “waktu imsak” sebelum subuh adalah perbuatan bid’ah (yang diada-adakan) . Seandainyalah mereka mengetahui dan memahami rukhsah (kelonggaran) ini tentu mereka tidak melakukan bid’ah sedekian rupa (menetapkan adanya waktu imsak sebelum subuh). (Lihat: Tamamul Minnah Fi Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah, Sheikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Terbitan Pustaka Sumayyah, Cet. Kelima, Disember 2007M, m/s. 457-458)"

0 sila komen disini: