Islam adalah deen dan agama kedamaian dan keamanan. Perkataan Islam itu sendiri terbina di atas kalimah سلم yang bereerti keamanan, kesempurnaan dan keselamatan. Islam adalah cara hidup (way of life) yang meliputi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sejagat.
Islam bukan sekadar 'agama' seperti ajaran agama-agama lain yang hanya dilihat dari aspek ritual dan pengamalan penyembahan semata-mata. Sebagai 'way of life' para penganutnya, Islam telah menggariskan panduan yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara seperti adab memasuki tandas sehinggalah sebesar-besar perkara seperti panduan mentadbir dan memimpin negara. Islam merupakan pakej lengkap yang menyeluruh bagi manual kehidupan manusia. Sebagai satu deen yang tidak rigid dan sempurna, sudah tentulah di sana terdapat panduan dan undang-undang yang semestinya dipatuhi dan dilaksanakan. Hak-hak muslim dan non-muslim yang berasaskan keadilaan dan kesaksamaan telah digariskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Klip pendek 15 minit 'fitna' yang dikeluarkan oleh seorang ahli parlimen Belanda Geert Wilders baru2 ini benar2 menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Kritikan dan sikap prejudis terhadap kitab suci al-Quran yang kononnya berasaskan semangat 'freedom of speech' ini benar-benar tidak akademik, malafide, kesinambungan dari doktrinisasi islamofobia, tidak bertanggungjawab serta menggambarkan kekeliruan dan ketidakfahamannya terhadap ajaran dan pegangan agama 1.4 billion penduduk dunia ini. Kekeliruan beliau tampak jelas apabila mengutip beberapa potong ayat al Quran dan ditafsirkan secara zahir maknanya secara rambang tanpa mengkaji secara mendalam ayat-ayat terbabit. Islam diinterpretasi dan digambarkan semahu-mahunya sebagai paksi keganasan, konservatif, ekstrimis dan ideologi paling merbahaya selepas nazi dan komunis yang mengancam keselamatan penduduk dunia. Ironinya, gambaran secara umum hasil filem ini adalah Islam merupakan punca segala jenis keganasan yang berlaku abad kebelakangan ini, Israel dan yahudi yang merampas tanah umat Islam Palestin pula bagaimana? Umat Islam Palestin dirampas hak dan dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri oleh sekumpulan bangsa yang dahulunya hanya mengemis sekangkang tanah di bumi Palestin. 16% rakyat Palestin terpenjara di sebalik tembok apartheid setinggi lapan meter dan sejauh 703 kilometer meredah perkampungan dan ladang-ladang zaitun milik mereka. Belum lagi berkisah dengan hak-hak asasi kemanusiaan yang dicabuli rejim zionis. Mereka ditindas dan dizalimi di tanah tumpah darah sendiri. Bagaimana lagi dengan Amerika yang telah menyerang Iraq, Lubnan dan negara2 umat Islam lain? Masih Islamkah puncanya?
Melihat kepada senario kebelakangan ini yang galak memberikan kefahaman dan interpretasi yang buruk dan salah terhadap Islam, kami selaku pelajar agama yang menuntut di Al-Azhar rasa bertanggungjawab untuk memberikan pencerahan terhadap masyarakat terbanyak mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan kini.
Ayat al-Quran disalahtafsir
Plot-plot dalam klip ini seterusnya mengaitkan al-Quran sebagai panduan untuk umatnya melancarkan keganasan 'terrorisme' terhadap Barat. Beberapa ayat al-Quran dipetik sambil diikuti video kapal terbang yang menghempas World Trade Center New York 11 September 2001. Segmen berikutnya juga terus mengaitkan Quran dengan punca serangan bom keretapi di Madrid pada tahun 2004, pengeboman di London 2005, serangan terhadap askar Amerika sedekad lalu dan pembunuhan direktor filem Theo Van Gogh pada tahun 2004. Semuanya membawa kepada satu tujuan dan gambaran, Islam dan Quran bersifat fasisme.
Istilah 'keganasan' atau 'terrorisme' itu sendiri tidak jelas dan kabur maknanya. Istilah ini mula dipopularkan oleh Amerika dan sekutunya selepas peristiwa 11 September. Penggunaan istilah ini sering dikaitkan dengan ekstrimis muslim di mana-mana ceruk pelusuk dunia. Umat Islam sendiri setelah terpengaruh dengan istilah ini seringkali pula menggunakannya untuk merujuk kepada para pejuang pembebasan tanah air khususnya di Palestin. Hasil penggunaan kerap istilah ini melalui media Barat umumnya, telah memberikan kefahaman kepada masyarakat dunia bahawa Islam itu banyak versi. Ada Islam yang ekstrim, Islam liberal, Islam sederhana, Islam yang maju dan sebagainya. Malaysia juga terpengaruh dan tidak terkecuali, di Malaysia pula ada Islam hadhari! Islam sederhana yang menitikberatkan soal pembangunan dan ketamadunan, dakwa penciptanya. Penjenamaan semula Islam (bid'ah alaf baru) yang sepatutnya amat wajar diperangi golongan wahabi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, dengan istilah inilah Amerika, Britain dan sekutunya menghalalkan tindakan mereka menyerang Iraq, Lubnan, Palestin dan yang terbaru masih dalam proses konspirasi mereka, Iran.
Geert Wilders telah membawakan lima ayat suci al-Quran dan ditafsir secara salah dalam rangka misi jahatnya untuk mengaitkan Islam dengan keganasan. Kesemua ayat ini ditafsirkan secara salah dan keluar dari konteks asalnya oleh Wilders.
Ayat 60 Surah al-Anfal contohnya diberi makna 'untuk melancarkan keganasan' (to strike terror). Tafsiran yang sebenarnya adalah (to Frighten the enemies of god), 'menggentarkan musuh Allah'. Nyata, Wilders sengaja berniat jahat dengan mengubah maksud sebenar ayat tersebut. Firman Allah swt:
(وأعدوا لهم ما استطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدوالله وعدوكم وءاخرين من دونهم لا تعلمونهم الله يعلمهم وما تنفقوا من شيء في سبيل الله يوف إليكم وأنتم لا تظلمون)
Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Al-Anfal, 60)
An-Nisa 56. Ayat ini mengkhabarkan tentang hukuman dan azab kepada orang-orang yang ingkar dan lalai dalam melihat tanda-tanda ayat-ayat Allah. Umumnya bermaksud hukuman kepada orang2 kafir dan ganjaran bagi orang mukmin. Ianya tentang azab api neraka dan bukannya terrorisme seperti ditafsirkan Wilders. Firman Allah swt:
(إن الذين كفروا بئايتنا سوف نصليهم نارا كلما نضجت جلودهم بدلنهم جلودا غيرها ليذوقوا العذاب إن الله كان عزيزا حكيما)
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa, 4)
Surah Muhammad ayat 4, sekali lagi Wilders sengaja membangkitkan sentimen untuk membenci umat Islam apabila membawakan ayat ini yang konteksnya dalam suasana perang. Secara zahirnya, jika tidak memahami konteks sebenar penurunan ayat ini memang menunjukkan bahawa Allah memerintahkan umat Islam memerangi orang-orang kafir. Tetapi dalam suasana sedang berperang! Bukan dalam keadaan biasa-biasa. Itupun dalam maksud sebenar ayat ini sebenarnya, Allah swt memerintahkan umat Islam supaya memerangi orang kafir yang melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama dengan umat Islam. Memerangi orang yang melanggar perjanjian damai, zalimkah? Bahkan Islam sendiri meletakkan beberapa kondisi yang perlu dipatuhi sebagai etika dan akhlak ketika berperang; tidak boleh membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak boleh merosakkan tanam-tanaman, larangan membunuh orang-orang tua, merobohkan rumah ibadat dan sebagainya. 'Fitna' Wilders dalam klipnya itu tanpa mengambil makna ayat secara keseluruhan mudah-mudah pula menempel separuh makna ayat ini dan menyembunyikan sebahagian yang lain.
(فإذا لقيتم الذين كفروا فضرب الرقاب حتى إذا أثخنتموهم فشدوا الوثاق فإما منا بعد وإما فداء حتى تضع الحرب أوزارها ذلك ولو يشاء الله لانتصر منهم ولكن ليبلوا بعضكم ببعض والذين قتلوا في سبيل الله فلن يضل أعملهم)
Maksudnya: Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) samada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehingga berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. (Muhammad, 4)
Surah an-Nisa' ayat 89. Taktik dan strategi sama digunakan Wilders seperti ayat-ayat di atas. Secara kasarnya jika diberi makna huruf tanpa memahami asbab nuzul dan konteks asal ayat ini memang menggambarkan Islam sebagai agama yang ganas, dan itulah yang telah dilakukan Wilders. Wilders menafsirkan ayat ini seolah-olah Islam memaksa manusia untuk menerima Islam, jika mereka tidak mahu, umat Islam berhak dan diperintah untuk membunuh mereka sekaliannya. Ganas bukan? Firman Allah taala:
(ودوا لو تكفرون كما كفروا فتكونون سواء فلا تتخذوا منهم أولياء حتى يهاجروا في سبيل الله فإن تولوا فخذوهم واقتلوهم حيث وجدتموهم ولا تتخذوا منهم وليا ولا نصيرا)
Maksudnya: Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong. (An-Nisa', 89)
Surah al-Anfal ayat 39, Firman Allah taala:
(وقتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله فإن انتهوا فإن الله بما يعملون بصير)
Maksudnya: Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan. (Al-Anfal, 39)
Isu-isu lain
Dalam satu scene klip 'fitna' ini, Wilders menunjukkan betapa negatifnya umat Islam hari ini apabila mengajar anak-anak kecil membenci yahudi dan Israel. Basmala, nama anak itu yang apabila ditanya tentang yahudi pantas menamakan yahudi sebagai kera dan babi. Islam sebenarnya sangat jelas tentang mauqif dan pendiriannya terhadap yahudi. Tidak dinafikan memang terdapat segelintir yahudi yang beragama Islam zaman ini, tetapi secara umumnya yahudi dalam erti kata sekarang merujuk kepada suatu bangsa yang sentiasa memerangi dan memusuhi Islam. Siapa sahaja boleh mengajarkan beberapa kerat skrip pendek kepada seorang kanak-kanak, kemudian merekodkannya untuk tontonan dunia bagi membenarkan pendirian dan pendapatnya. Wajarkah kenyataan seorang anak kecil bernama Basmala itu dipundakkan lantas menyalahkan 1.4 billion umat Islam di dunia sekarang?
Secara dasarnya, Islam amat menghormati kebebasan hak asasi manusia. Di antara hak asasi terpenting yang dipelihara serta dijaga adalah hak kebebasan bersuara. Kritikan yang membina bukan sahaja diperbolehkan, malah digalakkan untuk kebaikan sesuatu perkara. Seringkali pihak yang menghina Islam ini menggunakan hujah kononnya mengamalkan hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat (freedom of speech). Perlu dijelas dan diperincikan, bukan semua perkara boleh dikritik dan dibicarakan mengikut selera. Islam bukan seperti kristian yang tidak menghiraukan walaupun popenya dipermain dan dipersenda. Islam ada maruah, sensitiviti dan nilai harga yang amat tinggi. Segala sesuatu yang menyentuh Allah dan Rasul, dasar al-Quran dan perkara asasi lain tidak dibenarkan sesiapapun untuk mencabuli, mengkritik apatah lagi menghina. Tambah-tambah perkara yang dikritik itu membangkitkan kemarahan umat Islam, lagi tidak diharuskan. Larangan ini umum untuk muslim dan non-muslim.
Jika atas dasar kebebasan bersuara seperti dakwaan Wilders, mengapa ahli politik dan media Barat dilihat takut dan tidak mengamalkan dasar ini dalam isu Israel? Mereka mudah menyerang dan menghina Islam tetapi tidak mampu walaupun untuk mengkritik kerajaan haram Israel. Siapa saja yang menyatakan bahawa holocaust tidak wujud di Barat akan disumbat ke dalam penjara. Bahkan ahli politik Barat yang menunjukkan sikap anti-Israel dan mengkritik negara itu akan didesak untuk meletakkan jawatan. Persoalannya, dimanakah kebebasan bersuara seperti yang dilaung-laungkan mereka? Adakah freedom of speech ini sekadar retorik bagi menghalalkan tindakan mereka menyerang Islam?
Isu penindasan wanita pula merupakan isu lama yang sering diulang-ulang. Islamlah pada hakikatnya yang membebaskan wanita dari diperhamba dan dipandang sebagai manusia kelas kedua. Kedatangan Nabi Muhammad saw di zaman jahiliyah 1400 tahun lampau benar-benar telah memulia dan memartabatkan kembali taraf wanita. Wanita dalam Islam dianggap mulia sebagai ibu, isteri dan anak. Syurga digambarkan berada dibawah tapak kaki ibu bagi menggambarkan betapa besar dan mulianya kedudukan ibu dalam Islam. Berbeza dengan wanita di Eropah dan Barat. Wanita pada pandangan mereka tidak lebih dari sekadar simbol seks dan bahan menempias nafsu. Tubuh wanita dieksploitasi dalam pelbagai cara. Apa relevannya seorang wanita berpakaian separuh bogel menjual tayar kereta? Tiada kena mengena langsung! Itulah kebebasan mutlak wanita pada pandangan mereka. Nah! siapa yang menindas wanita sekarang?
Penutup
Amat mudah sebenarnya mengambil mana-mana kitab suci lantas ditafsirkan diluar konteks mengikut selera sendiri sehingga ianya berbunyi seolah-olah kitab paling tidak berperikemanusiaan yang pernah wujud atas muka bumi. Inilah yang telah Wilders lakukan bagi meraih simpati politik dan publisiti murahan untuk mendapatkan sokongan mempertahankan ideologi kebenciannya terhadap Islam.
Buat akhirnya, hayatilah hadis ini:
Pernah satu ketika, sedang Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata Baginda Rasulullah s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah. Bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, baginda mengatakan bahawa baginda terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut–sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Saidina Abu Bakar bertanya, “Bukankah kami ini ikhwanmu?Tidak, Abu Bakar, kamu semua adalah sahabat-sahabatku, kata Rasulullah. Ikhwanku itu, menurut Rasulullah s.a.w, adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka. KITALAH IKHWAN ITU!!
sekian.
Disediakan oleh usrah kami:
ibnuMajid (naqib)
Thursday, May 29
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 sila komen disini:
Post a Comment