Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1
Saya ada mendapat e-mel mengatakan pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah haram kerana ASB ada membuat pelaburan yang tidak berlandaskan syarak.
Pada mulanya, memang saya kurang percaya, takut ia e-mel palsu, tetapi setelah saya semak dengan e-fatwa di website Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ada fatwa yang menyebut tentang pelaburan ASB ini dalam fatwa Hukum Wang Dividen Dan Bonus ASB. Soalan saya:
1. Apakah hukumnya pelaburan saya di dalam ASB tersebut?
2. Sebelum ini, saya ada mengeluarkan zakat simpanan ASB tersebut. Apakah hukum zakat saya itu?
3. Saya hendak berhenti melabur dalam ASB, saya bercadang untuk mengeluarkan jumlah wang yang saya telah simpan sahaja dan melabur di pelaburan lain. Mengenai bonus dan dividen ASB tu, apakah tindakan yang paling sesuai untuk saya ambil? Bolehkah dividen dan bonusnya saya gunakan untuk membayar hutang seperti hutang pinjaman pelajaran? Ataupun, bonus dan dividen itu saya derma atau sedekahkan?
JAWAPAN: Persoalan mengenai ASB mendapat perhatian daripada Jawatan Kuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor, justeru keputusannya adalah seperti berikut;
* Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut:
*.i. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya: Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak.
*.ii. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah.
Keputusannya: Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syarak, maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.
Maka dapatlah disimpulkan di sini seperti berikut:
Sekiranya sebelum ini kita melabur tanpa mengetahui hukumnya, maka kita dianggap tidak tahu. Namun setelah mengetahui keterlibatan pelaburannya yang tidak syarie, adalah salah dan berdosa untuk terus terlibat dengannya. Seakan-akan kita reda dan bersetuju malah memberi sokongan kepada sesuatu yang tidak dibenarkan syarak.
Zakat simpanan memang perlu dikeluarkan daripada wang simpanan tersebut kerana ia adalah wang kita yang telah mencapai haul dan nisab zakat.
Namun pertambahan yang terhasil daripada simpanan tersebut (dividen, bonus dan lain-lain) tidak perlu dizakat kerana ia terhasil daripada urusniaga yang tidak syarie. Motif zakat adalah menyucikan harta yang halal kerana perkaitannya dengan hak golongan asnaf dan bukan menyucikan harta yang status asalnya memang tidak halal untuk dihalalkan.
Dividen dan bonus yang terhasil masih perlu dikeluarkan supaya ia tidak lagi berkembang (dilupuskan). Melupuskannya melalui pembayaran hutang atau pinjaman pelajaran, bermakna kita masih mengambil manfaat daripada harta yang tidak syarie.
Jadi cara terbaik adalah dengan menyalurkannya kepada pertubuhan awam atau pertubuhan berkaitan khidmat sosial yang memerlukan dana seperti pertubuhan sukarela yang bertindak dalam waktu-waktu kecemasan, bencana alam atau sebagainya (kemaslahatan awam).
Bukan dengan niat sedekah atau amal jariah, sekadar satu bentuk pemberian dan sokongan terhadap khidmat sosial mereka yang menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status agama, bangsa dan sebagainya.
SOALAN 2.
Saya mendapati ada fatwa yang menyebut tentang hukum insurans nyawa. Saya mengambil insurans dengan sebuah syarikat insurans tetapi skim berlandaskan Islam (menurut agen insurans saya). Harap ustaz dapat beri penjelasan tentang hukum insurans ini, sebab saya memang keliru.
JAWAPAN: Mengikut keputusan majlis fatwa kebangsaan disebut insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip jual beli dalam Islam;
a. mengandungi gharar (ketidaktentuan)
b. mengandungi unsur judi.
c. mengandungi muamalah riba
Secara puratanya kebanyakan ulama tidak menyetujui konsep insurans nyawa hari ini kerana terdapat unsur perjudian, ketidaktahuan dan ketidaktentuan dalam kontrak tersebut.
Sistem takaful telah dibincangkan secara intensif oleh para ulama mutakhir dalam mencari penyelesaian terhadap produk atau muamalah yang boleh menangani atau mengurangi kesulitan individu apabila berlaku kecelakaan.
Ia diimplimentasi pada hari ini dan sewajarnya menjadi pilihan untuk menghadapi risiko pada masa akan datang. Syarikat-syarikat Takaful yang menawarkan produk ini mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga memaksa institusi lain (insurans konvensional) menerbit dan melancarkan produk takaful mereka walaupun mungkin sebahagiannya tidak mendapat pengiktirafan daripada Badan Penasihat Syariah yang berautoriti.
Oleh kerana itu, setiap pelanggan perlu bertanya secara mendalam tentang maklumat produk khususnya berkaitan sijil pengiktirafan syariah daripada badan yang berautoriti, contohnya Bank Negara Malaysia. Pastikan kita meminta untuk melihat sijil ini kerana sebahagian agen sendiri mungkin agak keliru terhadap sistem insurans nyawa konvensional dengan takaful.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1201&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_05.htm&arc=hive
Saturday, October 25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 sila komen disini:
Post a Comment