SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Pages

Subscribe

Wednesday, October 1

Umpat sebabkan muflis di akhirat

SOALAN
Adakah benar pahala orang yang mengumpat diberi kepada orang yang kena umpat? Segala amalan yang lakukan akan habiskah?

JAWAPAN
Memang benar Allah SWT akan menghitung segala amalan manusia, hal ini telah disebut di dalam al-Quran firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (al-Zalzalah: 7&8).

Dalam surah yang lain Allah berfirman yang bermaksud: Dan 'Kitab-kitab amal' juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. (al-Kahfi: 49).

Yang tidak diendahkan oleh manusia ialah mengenai dosanya. Silapnya manusia dengan amalannya yang tidak seberapa itu yakin boleh melepaskan diri daripada kemurkaan Allah. Dengan amalan yang sangat terbatas ini manusia masih lagi berkesempatan melakukan dosa mengumpat.

Bayangkan sahaja, sudahlah amalan sikit dosa pula banyak malangnya lagi apabila simpanan amalan kebajikan kita dipindahkan ke akaun orang yang kita umpat dan orang kita aniaya. Jika masih tidak dapat melangsaikan hutang orang dianiaya di dunia maka dosa mereka akan dipindahkan ke akaun penganiaya.

Berkaitan dengan muflisnya seseorang yang mengumpat telah dijelaskan oleh hadis baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tahukah kamu siapa yang bakal menjadi muflis? Sahabat menjawab: orang yang muflis ialah mereka yang tiada padanya dirham dan tidak berharta. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya yang bakal menjadi muflis dari kalangan umatku kelak ialah mereka yang datang pada hari kiamat sedang dia di dunia seorang yang menjaga solat, puasa dan zakat tetapi dalam masa yang sama dia datang dalam keadaan dia di dunia dulu mencaci orang itu, memfitnah ini, makan harta orang dengan cara yang tidak halal, menumpah darah orang yang tidak bersalah dan memukul orang. Maka di akhirat nanti akan diambil kebajikan (pahala) daripada golongan yang menganiaya kepada mereka yang telah dianiaya, sekiranya kebajikan atau pahala orang menganiaya tadi habis sebelum selesai hutangnya dengan orang dianiaya maka akan dipindahkan dosa orang dianiaya ke dalam kiraan orang yang menganiaya lalu dihumban ke dalam neraka. (riwayat Muslim ).

Pertama, kita harus faham maksud mengumpat. Dalam bahasa Arab mengumpat disebut sebagai ghibah dalam hadis-hadis Rasulullah juga diguna perkataan yang sama bagi menjelaskan apa itu mengumpat.

Mengumpat maknanya seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam kebanyakan hadis baginda yang sahih di antaranya hadis yang bermaksud: Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab sesungguhnya Allah dan Rasul jua yang lebih tahu. Maka baginda bersabda: mengumpat itu maknanya engkau menyebut sesuatu mengenai saudara engkau perkara yang dia benci (jika dia tahu pasti dia marah). Lalu sahabat bertanya kepada baginda: adakah tuan melihat sekiranya saya menyatakan sesuatu yang benar mengenai saudara saya? Lantas baginda menjawab: sekiranya kamu menyatakan sesuatu yang benar ada pada dirinya maka kamu telah mengumpat dia dan sekiranya kamu menyatakan yang sesuatu yang tiada pada dirinya sesungguhnya kamu telah berdusta. (riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa: "ghibah ialah seseorang itu menyebut mengenai orang lain yang dia (yang diumpat) benci orang berbuat demikian padanya sama ada yang diceritakan itu berkaitan tubuh badannya atau agamanya atau dunianya atau kejadiannya atau pakainya… sama ada kamu menyebutnya dengan lafaz atau isyarat".

Ada juga yang berkata ketika dia mengumpat: "aku berani kata depan dia (orang yang diumpat), sedangkan dia tidak sedar perbuatan tersebut adalah lebih menyakitkan saudaranya".

Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

Ibnu Mas'ud pernah berkata: Kami pernah berada di tempat Nabi SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri meninggalkan majlis, kemudian ada seorang lelaki lain mengumpatnya sesudah dia tidak ada, maka kata Nabi kepada lelaki ini: Bertambah gemuklah kamu! Orang tersebut bertanya: Mengapa saya harus menjadi gemuk sedangkan saya tidak makan daging? Maka kata Nabi: Sesungguhnya engkau telah makan daging saudaramu. (riwayat Thabarani dan Bukhari).

Hukum mengumpat pula seperti yang diungkap oleh Imam al-Qurtubiy: "Tiada khilaf (perselisihan) di kalangan ulama mengenai hukum mengumpat, sepakat mengatakan bahawa hukum mengumpat adalah termasuk dalam dosa besar, pengumpat wajib bertaubat di atas perbuatannya.

Manakala Ibn Hajar al-Haithamiy berpendapat: "setiap dari kedua perbuatan mengumpat dan mengata haram dengan kesepakatan ulama".

" wahai tuhan ku, aku tak layak kesyurgamu ...namun tak pula aku sanggup keNerakamu.. .......,kami lah hamba yang mengharap belas darimu ........Ya Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang Bertaqwa.... ..ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia,

0 sila komen disini: