Soalan; ustaz, saya ada terbaca satu artikel yang menyatakan kita boleh menqadakan puasa ahli keluarga kita yang telah meninggal. Soalan saya ialah :-
1. Bolehkan kita menqada puasa untuk ahli keluarga yang telah meninggal?
2. Saya tidak pasti selama berapa hari arwah meninggalkan puasa ketika masih hidup dan sejak bila dia tidak berpuasa. Bagaimankah harus saya menqadakan puasa tersebut untuk arwah?
3. Saya telah meninggalkan puasa kerana datang haid dan saya ingin menqada puasa yang telah saya tinggalkan. Bolehkan saya berniat qada untuk diri saya dan niat qada untuk arwah secara serentak " Sahaja aku qada ramadhan untuk diri ku serta arwah datukku, fardhu atas aku kerana Allah Ta'ala"
4. Bagaimana pula dengan fidyah bagi orang yang telah meninngal? Bolehkan fidyah puasa saya dibayar serentak dengan fidyah arwah? Jika fidyah yang harus saya bayar ialah 1330 cupak beras untuk diri saya dan katakanlah fidyah arwah ialah 100 cupak beras untuk dirinya, bolehkan saya membayar serentak?
5. Adakah harus saya berniat untuk membayar fidyah? Jika ya, apakah niatnya?
Saya amat berharap agar ustaz dapat menjelaskan kemusykilan agar saya menjalankan ibadat ini tanpa syak.
Terima kasih.
Jawapan;
1. Harus mengqadha puasa bagi pihak si mati kerana Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya” (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.a.).
2. Jika tidak pasti secara tepat bilangan hari yang ditinggalkan, berpuasalah dalam jumlah hari yang sekira-kira diyakini telah menampung atau melebihi jumlah hari yang ditinggalkan itu. Keputusan yang dibuat berdasarkan dzan yang ghalib (yakni sangkaan yang kuat) adalah diterima di dalam Islam bagi aspek amali atau fiqh sekalipun tidak sama seperti yang dibuat berdasarkan yang yakin/pasti.
3. Dua ibadah yang mempunyai maksud dan tuntutan yang berbeza tidak harus disatukan di dalam satu perbuatan atau satu ibadah sahaja. Kerana itu dua puasa qadha tidak harus dilakukan bersekali, sebaliknya hendaklah diasingkan. Jadi, jika saudara ingin berpuasa untuk ahli keluarga yang meninggal, hendaklah saudara asingkan dari puasa qadha untuk saudara. Namun demikian, dari sudut pahala, ibadah yang dilakukan oleh seorang anak pahalanya akan diperolehi oleh bapa yang telah meninggal sekalipun si anak tidak meniatkannya untuk bapa.
4. Kedudukan fidyah juga sama seperti di atas.
5. Semua ibadah tidak sah melainkan dengan niat kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang masyhur; “Sesungguhnya segala amalan dengan niat” (HR Bukhari dan Muslim). Maka mengeluarkan fidyah juga wajib disertai dengan niat. Niat tempatnya ialah di dalam hati, yakni yang wajib ialah meniatkan di dalam hati bahawa beras (atau wang) yang dikeluarkan itu adalah fidyah (bagi si mati atau bagi diri sendiri). Adapun melafazkan dengan lidah, tidaklah wajib. Ia sunat sahaja menurut mazhab Syafi’ie dan kebanyakan ulamak berpendapat; tidak perlu lafaz lidah.
SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Soalan; ustaz, apakah perbezaan solat dalam kenderaan dan solat hormat waktu. Saya sering keluar negara dengan menaiki kapalterbang dan saya bersolat ketika saya yakin waktu solat telah masuk dengan cara duduk di atas tempat duduk penumpang (mengikut arah perjalanan kapal terbang). Selalunya saya buat secara jamak & qasar. Saya berpendapat yang saya dalam keuzuran dan tidak mampu melakukan solat secara sempurna. Tetapi saya terbaca dalam satu artikel bahawa sembahyang seperti itu cuma dikira sebagai solat menghormati waktu yang mana solat itu perlu dilakukan semula setelah perjalanan selesai. Jika demikian adakah saya perlu saya meng'qada' semua solat itu semua?Sekian, terima kasih.
Jawapan;
Orang berada di atas kapal laut, kapal terbang, keretapi dan sebagainya, jika ia dapat turun atau berhenti, wajiblah ia turun atau berhenti untuk menunaikan solat. Jika tidak, hendaklah ia menunaikan solat di atas kenderaan-kenderaan itu jika dibimbangi akan habis waktu jika ditunggu hingga sampai ke destinasi. Semasa mengerjakan solat itu, jika ia dapat/mampu berdiri wajiblah ia berdiri. Jika tidak mampu –kerana takut terjatuh, tenggelam, loya, tiada ruang untuk berdiri atau sebagainya, harus ia melakukannya sambil duduk. Bagi kiblat pula, jika ia dapat mengadap ke arah kiblat, wajiblah ia mengadap ke arahnya. Jika di tengah solat, kapal/kenderaan beralih dari arah kiblat, dimaafkan. Jika ia tidak mampu mengadap ke arah kiblat, hendaklah ia mengadap ke arah mana yang boleh. Begitu juga dengan rukun-rukun yang lain, hendaklah dilakukan mengikut kemampuan. Di dalam kaedah fiqh ada ditegaskan al-Masyaqqah tajlibu at-Taisir (kepayahan akan mendapat kemudahan), yakni orang yang dalam kepayahan diberi kemudahan atau kelonggaran oleh Syarak. Dalil bagi kelonggaran tersebut ialah beberapa hadis Nabi s.a.w., antaranya;
1. Sabda Nabi s.a.w.; “Hendaklah kamu tunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu, tunaikan dengan isyarat” (HR Imam al-Bukhari dari ‘Imran bin Hushain r.a.)
2. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang lelaki; “Bagaimana hendak saya tunaikan solat di dalam perahu/kapal laut?”. Baginda menjawab; “Tunaikan dengan berdiri kecuali jika kamu bimbang akan tenggelam” (HR Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim. Menurut al-Baihaqi; hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5009).
Adakah solat yang dilakukan dengan rukhsah (yakni dengan mengambil kemudahan dan kelongaran) tadi perlu diulangi semula? Jawapannya; tidak perlu. Ibadah yang wajib, jika telah dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan (walaupun dengan meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya dilakukan, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau mempermudah- mudahkan agama), sahlah ibadah itu dan tidak perlu lagi diulangi. Inilah pandangan Imam al-Muzani (seorang murid terkenal Imam Syafi’ie)[1] dan di sokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (at-Taghabun; 16). Dan Nabi s.a.w. pula bersabda; “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Jadi berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat) kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telahpun sah dan dikira oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 322.
Nota kaki;
[1] Khusus mengenai solat fardhu, Imam al-Muzani berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab al-Haidh, bab at-Tayammum) .
Saturday, October 25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 sila komen disini:
Post a Comment