SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Pages

Subscribe

Monday, October 13

Zakat Fitrah Orang Yang Tidak Mampu

SOALAN : ustaz, ni nak tanya sikit,apa hukum zakat fitrah bagi orang yang bekerja tapi tak mampu nak bayar zakat fitrah sebab duit gaji dia dah habis bayar hutang?adakah wajib dia membayar?lagipun bukan kah dia tu tergolong didalam orang yang miskin maksudnya kan ada dalam pengertian orang yang miskin tu adalah dia bekerja tetapi pendapatan dia tak sampai setengah dari keperluannya sekeluarganya ataupun cukup untuk menanggung perbelanjaan nya sekeluarga.bukan kah macam tu?jadi sekiranya dia betul2 tak ada duit ada duit pun kena kasi bukan dia yang punya hasil titik peluh ertinya tak wajib lah dia membayar zakat tu kan?berdosa kah dia?boleh terangkan sikit ustaz...

Jawapan;

Antara syarat wajib zakat fitrah ialah mampu. Maksud mampu ialah mempunyai lebihan harta pada malam hari-raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) ; meramgkumi belanja makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang.

Harta yang dihitung di sini ialah yang lain dari harta yang menjadi kegunaan sehari-harinya. Adapun harta yang diperlukan sehari-hari seperti rumah (tempat tinggal), kereta, perkakas/perabot, pakaian sehari-hari, buku-buku dan sebagainya tidak termasuk dalam perhitungan. Oleh itu, barang-barang tersebut tidak perlu dijual semata-mata untuk membayar zakat fitrah. Maka sekiranya seseorang itu benar-benar tidak mempunyai lebihan harta (yang lain dari harta-harta kegunaan harian tersebut), ia dikira tidak mampu dan tidak wajib membayar zakat fitrah.

Jika ia hanya mempunyai lebihan harta sedikit sahaja (katakanlah tidak sampai nilainya satu gantang), maka wajiblah ia keluarkan sekadar yang ada itu sahaja. Jika lebihan yang ada itu cukup untuk zakat fitrah dirinya sahaja (iaitu sekadar 1 gantang), maka keluarkanlah untuk dirinya sahaja. Jika lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk zakat fitrah sebahagian ahli-ahli tanggungannya sahaja, maka keluarkanlah untuk sebahagian mereka mengikut susunan keutamaan berikut;

1. Dirinya sendiri
2. Isterinya
3. Khadamnya
4. Anaknya yang kecil
5. Bapanya (jika bapanya berada di bawah tanggungan nafkahnya)
6. Ibunya (jika berada di bawah tanggungan nafkahnya)
7. Anaknya yang dewasa (jika tidak mampu mencari pendapatan sendiri)
8. Hambanya

Telah disebutkan di awal tadi bahawa; masa yang dijadikan perkiraan (bagi wujudnya lebihan itu) ialah malam hari raya dan siangnya (yakni sebelum terbenam matahari pada hari raya). Maka, sekalipun seseorang itu sebelum tiba masa tersebut ia tidak mempunyai lebihan harta, tetapi ketika tiba masa tersebut ia mendapati ada lebihan pada hartanya, ia tetap dituntut mengeluarkan zakat fitrah. Namun sekiranya ketika tiba masa tersebut ia masih tidak memiliki lebihan harta, tidaklah ia dituntut membayar zakat fitrah sekalipun ada kemungkinan selepas hari raya akan ada lebihan harta baginya kerana yang dihitung bukan kemungkinan akan datang tetapi keadaan yang sedia ada. Orang yang tidak dapat membayar zakat fitrah kerana tiada lebihan harta pada masa tersebut, ia tidak dituntut mengqadha’ zakat fitrahnya selepas hari raya sekalipun datang kemampuan kepadanya selepas hari raya itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Buku Zakat Fitrah, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

0 sila komen disini: