SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Pages

Subscribe

Thursday, October 9

Waktu makruh mendirikan solat sunat tidak bersebab

oleh TGHNAA

Andai kata dengan hanya sekali mendirikan solat 'istikharah' belum mendapat sebarang tanda kebaikan, ulangi kali kedua dan seterusnya.


Di kalangan ulama ada yang berpendapat bahawa ulangi solat teresebut hingga satu minggu.

Kadang kala Tuhan buka pintu hati kita dengan istikharah itu, ada ketikanya Tuhan kurniakan melalui sahabat yang ikhlas.

Dalam perbualan ditakdirkan sahabat itu menyentuh perkara tersebut, lalu terjawablah istikharahnya kepada Alah SWT.

Ada kalanya Tuhan kurniakan petunjuk melalui mimpi dengan jelas, diceritakan secara nyata dan fahamlah melalui mimpi itu. Ada ketikanya mimpi itu memerlukan 'ta'bir' melalui orang yang arif tentang rahsia mimpi.

Kini tiba ketikanya untuk menghuraikan tentang waktu yang makruh untuk tunaikan solat sunat. Dalam erti kata bahawa masa 24 jam yang dikurniakan Allah SWT, tidak seluruh waktu boleh digunakan untuk solat.

Meskipun solat merupakan ibadat yang terunggul di sisi Allah SWT, namun ibadat tersebut mesti mengikut cara peraturan yang dikehendaki- Nya.

Walau bagaimana indah dan baiknya sesuatu ibadat mengikut pandangan sendiri, Tuhan akan ditolak ibadah itu sekiranya tidak menepati kehendak Allah SWT.

Dalam banyak perkara yang perlu waspada adalah mengenai waktu, terdapat lima ketika yang makruh melakukan solat.

Pertama, selepas solat Ashar. Kedua, sesudah solat Subuh. Masa ketiga waktu gelincir tengah hari (zawal). Waktu keempat ketika mata hari sedang naik di ufuk timur. Detik kelima ketika mata hari sedang jatuh di ufuk Barat.

Semua lima waktu yang dinyatakan itu makruh mendirikan solat yang tidak bersebab, seperti solat sunat mutlaq, termasuk solat sunat hajat kerana yang menjadi sebab musababnya muncul kemudian (mutakhir).

Adapun solat yang bersebab seperti qadha solat ratibah (kapit solat fardhu) lantaran sesuatu sebab, dengan mengqadha solat ratibah bagi melazimkan solat sunat tersebut yang lazimnya dilakukan. Hanya lantaran keuzuran tertentu solat tersebut tertinggal.

Termasuk dalam solat bersebab ialah solat gerhana (kusyuf), solat jenazah. Bagi solat bersebab tidak dimakruhkan melakukannya pada lima ketika yang dinyatakan itu.

Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, diriwayatkan: Bahawa Nabi s.a.w. pernah solat dua rakaat selepas solat Ashar, lalu seorang sahabat bertanya; ya Rasulullah, bukankah kamu pernah melarang kami solat selepas solat Ashar?

Berkata Nabi s.a.w.: "Bahawa dua rakaat yang aku dirikan itu sebagai ganti (qadha) solat dua rakaat selepas Zuhur, oleh kerana ada tamu datang ke rumahku menyebabkan aku tidak sempat solat sunat selepas Zuhur."

Hadis kedua yang menjadi dalil bahawa Nabi s.a.w. pernah menggunakan waktu yang makruh untuk qadha solat tahajud, hadis tersebut riwayat Saiyidatina 'Aisyah r. anha katanya: "Nabi s.a.w. apabila sekali sekali terlalu mengantuk atau sakit, menyebabkan beliau tidak boleh bangun malam untuk tahajud, maka baginda s.a.w. qadha solat pada awal pagi (selepas solat Subuh) dua belas rakaat."

Hadis tersebut menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. pernah mendirikan solat qadha tahajud pada awal pagi, iaitu waktu yang dimakruhkan mendirikan solat yang tidak bersebab.

Oleh kerana Nabi s.a.w. mempunyai sebab mengapa beliau tidak dapat bangun solat tahajud malam, maka digantinya solat tahajud itu pada awal pagi.

Rahsia dimakruhkan oleh syara' mendirikan solat pada waktu tersebut ialah untuk mengelak daripada menyerupai penganut agama para penyembah mata hari.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah mata hari.

'Illat tersebut meskipun berkait khusus dengan perkara solat, namun ia meliputi perkara yang lain termasuklah dalam soal akhlak atau adab dan soal menutup aurat (terutama bagi wanita) yang diwajibkan menurut al-Quran, hatta berpolitik dan mentadbir negara secara Islam.

Dengan cara demikian jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang Islam yang beriman, dengan masyarakat kuffar yang lain.

Kemurnian Islam amat nyata pada pandangan masyarakat umum, antara cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syari'at Islam, dengan golongan yang mencabar syari'at Allah SWT.

Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah SWT ialah ibadat menyembah mata hari. Ibadat tersebut dilakukan ketika mata hari naik di awal pagi, ketika tengah hari mata hari gelincir (zawal) dan ketika mata hari jatuh ketika senja.

Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat penyembah mata hari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.

Berdasarkan peristiwa qadha solat sunat yang berlaku kepada Nabi s.a.w., Imam Ghazali juga berpendapat bukan saja solat sunat, tetapi seseorang mempunyai amalan wirid, lalu terhalang kerana sesuatu keuzuran, maka wirid tersebut perlu diqadha pada waktu yang lain. Sehingga dia merasa tidak mengapa duduk sahaja tanpa wirid itu.

0 sila komen disini: